Kuala Lumpur: Bermula tahun depan 1.3 juta penjawat awam akan menerima bantuan khas kewangan bernilai RM700.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan itu memanfatkan penjawat awam Gred 56 ke bawah.
"Sejumlah sejuta pesara awam pula menerima RM350 dan bantuan ini membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM1.3 bilion," katanya pada pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Sementara itu, Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 pula dinaikkan kepada RM600 dan dibayar pada Mac 2023.
Terdahulu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan bersetuju memberikan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56 dengan implikasi kewangan RM 1.5 bilion ringgit.
"Ini bermakna, jika seorang kakitangan Gred 11 yang bergaji RM1,600 ringgit mendapat Kenaikan Gaji Tahunannya sebanyak RM80 ringgit pada setiap April, bagi tahun hadapan, beliau turut mendapat kenaikan gaji tambahan khas 2023 sebanyak RM100 bermula pada Januari 2023.
"Ini menjadikan gaji akhir beliau pada tahun 2023 adalah sebanyak RM1,780 dan gaji ini kekal dibawa ke tahun seterusnya," katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhannya dengan Kenaikan Gaji Tambahan Khas dan Bantuan Khas Kewangan, melayakkan penjawat awam menerima sehingga RM2,500 pada 2023.
Sumber HM